Friday, March 21, 2008

MELAYU BERPECAH??

Muka hadapan Utusan Malaysia bertarikh 21 Mac 2008 bertajuk “Deklarasi 25 NGO sepakat tubuh Barisan Bertindak Perpaduan SATUKAN MELAYU” benar-benar menarik perhatian saya sebagai rakyat Malaysia berbangsa Melayu dan Bergama Islam. Sebenarnya tarikan artikel tersebut lebih tepat jika saya katakan sebagai suatu ‘kejutan’.

Terdapat persoalan yang berlegar di benak fikiran saya ketika mula-mula membaca artikel nukilan SAIFUL HAIZAN HASAM. Antara persoalan itu termasuklah, adakah benar berlaku perpecahan dalam bangsa saya sendiri? Atau itu hanya retorik semata-mata. Kemudian tercetus pula andaian fikiran saya sebagai orang melayu golongan pertengahan, bahawa ini semua berpunca dan berpaksikan kepada keputusan pilihanraya umum 2008.

Pada pilihan raya umum ke 12 yang lalu, secara umumnya rakyat Malaysia menidakkan majority 2/3 Barisan Nasional yang telah memegang tampuk pemerintahan selama setengah abad di parlimen. Menidakkan majority 2/3 tidak sesekali membawa erti bahawa Barisan Nasional tidak berkuasa di peringkat kerajaan pusat. Menteri-menteri kabinet masih lagi mereka yang menang di parlimen masing-masing atas nama Barisan Nasional. Jika kekurangan kerusi di parlimen atau perubahan pimpinan di lima buah negeri, menjadi sandaran 25 NGO menyatakan bahawa perpecahan berlaku di kalangan bangsa melayu, saya fikir anda silap.

Perbezaan pendapat politik di kalangan orang melayu memang jelas berlaku, tapi adakah ini bukti yang nyata bahawa melayu di ambang perpecahan? Izinkan saya memberi satu methodoly yang saya kira sesuai.Bolehkah berlaku perceraian jika si suami mengundi Barisan Nasional, manakali si isteri tidak? Agak lucu juga jika keadaan ini berlaku. Mana mungkin darah melayu berjati diri tinggi di kalangan orang melayu kini, bergelora kerana kertas undi yang di keluarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya. Mungkin perpecahan itu berlaku dalam sesetengah parti politik, tapi perpecahan itu tidak melambangkan keseluruhan bangsa,amnya melayu.

Saya tida pernah membantah usaha baik pihak NGO melayu/islam menubuhkan Barisan Bertindak Perpaduan. Malah saya menyokong sepenuh hati akan penubuhan ini. Cuma tujuan itu perlu di perhalusi dan tidak berdasarkan retorik perpecahan orang melayu. Selain itu untuk mejaga sensitiviti kaumi lain, di harap pihak NGO terlibat tidak mengabaikan perpaduan antara rakyat Malaysia termasuk rakyat Malaysia di sabah dan Sarawak.

Sebagai rakyat Malaysia, sifat chauvinisme atau mementingkan sesuatu kaum tidak patut ada dalam diri setiap diri rakyat Malaysia kerana kita sudah ‘duduk sebumbung’ lebih dari separuh abad. Jangan kerana hal politik sempit sesetengah pihak, maruah negara kita tercalar. Lihat sahaja apa yang terjadi kepada Amerika syarikat apibila mengamalkan konsep ‘White Supremacy’. Walaupun Negara kuasa veto itu dianggap paling maju pada ketamadunan hari ini, orang kulit hitam disana masih lagi menganggap terdapat ‘pengenalan kaum’ terhadap mereka.

Kini persoalan lain pula timbul. Adakah isu Dasar Ekonomi Baru, DEB yang menyebabkan kenyataan orang melayu berpecah?. DEB diasaskan oleh Tun Abdul Razak pada 1971. DEB pada asasnya adalah suatu dasar mengenai sosio-ekonomi di Malaysia pada ketika itu. Kerajaan waktu itu di bawah pimpinan Tun Abdul Razak mengariskan strategi serampang dua mata iaitu:
mengurangkan dan akhirnya membasmi kemiskinan dengan meningkatkan pendapatan dan menambah peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum;
dan
mempercepatkan proses penyusunan semula masyarakat Malaysia untuk memperbetulkan ketidak seimbangan ekonomi supaya dapat mengurang dan seterusnya menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi ekonomi

kemudian dasar ini di kaji semula oleh kerajaan pimpinan Tun Dr. Mahathir Mohammad pada tahun 1991 kepada Dasar Pembangunan Negara, DPN. Konsep DPN adalah hamper serupa dengan konsep DEB, perbezaannya adalah penyataan objektif. DPN juga menggariskan 2 objektif utama iaitu.

Memperkukuhkan kestabilan negara dari segi ekonomi, sosial dan politik melalui pembangunan bandar dan di luar bandar

Menjadi negara maju dan mengukuhkan keadilan sosial, nilai etika, moral, kualiti hidup dan mengamalkan prinsip pentadbiran yang adil dan kecemerlangan ekonomi

Dalam kedua-dua dasar kerajaan ini tidak langsung menyatakan apa-apa hak keistimewaan dalam bidang ekonomi terhadap orang melayu, sebaliknya menyataan keadilan dan kesaksamaan dalam ekonomi semua kaum di Malaysia. Walaupun umum mengetahui banyak kelebihan yang di berikan kepada orang melayu melalui penubuhan GLC. Pada hemat saya penubuhan GLC dan Amanah Saham memeng bertujuan meningkatkan lagi ekuiti orang melayu. Tetapi ia juga meningkatkan tahap kebergantungan orang melayu terhadap kuasa politik sahaja. Fenomena ini tidak menggalakan kematangan orang melayu dalam arus globalisasi.

Sebagai sebuah negara yang separuh abad bebas dari cengkaman penjajah, kita orang melayu sepatutnya sudah boleh berlari sama laju dan terbang sama tinggi dengan bangsa-bangsa lain di dunia, termasuk kaum cina dan india di malaysia. Jadi adalah wajar kerajaan mengkaji semula DPN yang sudah menjangkau usia 17 tahun itu. Ini bersesuaian dengan kerajaan dalam usaha memantapkan lagi orang melayu. Hanya persaingan yang sihat dalam ekonomi sahaja yang dapat membantu orang melayu mencapai tahap ‘international malays’

Jadi secara keseluruhan, perpecahan di kalangan melayu tidak sama sekali berlaku. Walaupun terdapat perbezaan pendapat politik yang ketara di kalangan orang Melayu. Ia hanya berlaku dalam politik politik tetapi tidak secara keseluruhan. Bak kata pepatah, jangan kerana nila setitik, habis rosak susu sebelanga. Jangan kerana pendapat politik, habis rosak seluruh bangsa.

Wednesday, March 12, 2008

Ke Arah Malaysia Baru

Salam Reformasi,,,,


seperti kita ketahui Malaysia baru sahaja melalui proses pilihanraya UMUM ke 12 2008 yang menyaksikan sejarah baru tercipta dengan BARISAN NASIONAL (BN) gagal mempertahankan majoriti 2/3 kerusi parlimen semenjak ia ditubuhkan.

Apakah yang menjadi punca utama kekalahan teruk BN?
Mengapa pengundi2 lebih memilih parti pembangkang?


Sama2 kita fikirkan dan bincangkan....